1,000 bas awam bakal beroperasi di Lembah Klang akhir tahun ini – Anthony

- NASIONAL - 13/09/2023

PUTRAJAYA – Perkhidmatan bas di Lembah Klang akan ditambah secara berperingkat bagi menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan perkhidmatan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang akhir tahun ini berbanding 724 yang ada ketika ini.

Menurutnya, jumlah tersebut merupakan angka yang kecil berbanding keperluan hampir 4,000 bas bagi perkhidmatan yang efisien.

“Sekarang ada 150 buah bas Rapid KL yang masih diselenggarakan dan boleh kembali untuk perkhidmatan. Selain itu, kita juga sedang melantik operator bas baharu, umpamanya laluan yang tidak mencukupi bas kita akan outsource kepada operator lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas meninjau operasi lorong bas Rapid KL dan menaiki sendiri bas dari Pandan Indah ke Masjid Jamek, Kuala Lumpur. 

Pada masa sama, Anthony memberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menyelaraskan laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang supaya pengangkutan awam itu lebih berintegrasi pada masa depan.

Katanya, terdapat tiga operator berlainan yang mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang iaitu Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor.

Jelasnya, penyelarasan itu perlu dibuat dengan lebih berintegrasi, tidak bertindih supaya dapat memberikan mutu perkhidmatan bas yang lebih lancar, efisien dan bilangan penumpang juga bertambah. 

Mengulas lanjut mengenai operasi lorong bas yang telah dimulakan sejak Julai lalu, Anthony berkata, terdapat peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12 peratus iaitu daripada 12,936 kepada 14,523 penumpang setiap hari dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 20 minit berbanding penggunaan kereta persendirian.

“Dari segi pengamatan saya, walaupun ada lorong bas, masih banyak kereta yang mengikuti lorong bas, mereka pada permulaannya terpaksa keluar dari lorong bas itu kerana ada anggota penguat kuasa di depan untuk masuk lorong kanan.

“Tetapi banyak kereta persendirian selepas melalui kira-kira 500 meter, mereka masuk kembali ke kiri (lorong bas) dan itu kadangkala menyusahkan bas kerana masih ada kereta. Perkara ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet atasi kesesakan jalan raya pada bulan depan,” katanya.

TAGS: