PUTRAJAYA – Sebanyak 90.3 peratus atau 7,544 projek penyelenggaran kecil Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses dan siap dilaksanakan.
Menurut satu kenyataan Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), jumlah berkenaan diperoleh setakat 22 September lalu.
Kata kenyataan itu, pihaknya dengan kerjasama KPM telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan penyelenggaraan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta yang bermula pertengahan Julai lepas.
“Baki sebanyak 810 atau 9.7 peratus projek sedang dalam peringkat akhir perolehan. Projek penyelenggaraan ini dijangka dapat disiapkan pada penghujung Oktober 2023.
“Pelaksanaan kesemua projek berkenaan adalah secara kolaboratif antara ICU dan KPM serta pejabat-pejabat daerah di seluruh negara,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, ICU JPM memberitahu inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.
Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan akan terus komited untuk memastikan penyediaan prasarana dan perkhidmatan terbaik serta dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat.
“Hasrat ini adalah selaras dengan agenda kerajaan dalam membangunkan Malaysia MADANI,” jelas kenyataan itu.