PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan hasrat untuk memberi fokus kepada usaha meningkatkan latihan dan bimbingan dalam aspek ekonomi penjagaan pada Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan Oktober ini.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Selain itu, kementerian juga mahu memastikan individu terlibat dalam ekonomi penjagaan, yang merujuk kepada pekerjaan menyediakan perkhidmatan bagi membantu individu memerlukan, adalah daripada kalangan terlatih dan berkemahiran.
“Ini kerana ada yang mengatakan tidak ada orang untuk diberi pekerjaan bagi menjaga orang yang memerlukan (seperti) orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak dan orang tua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas merasmikan Program Penjanaan Pendapatan Wanita (Wejana) 2023 Sabah pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, antara fokus KPWKM adalah untuk melahirkan individu yang menjadi penjaga daripada golongan terlatih.
Menurutnya lagi, KPWKM turut komited untuk terus memperkukuh “2 Year Exit Programme” (2YEP) bagi membantu lebih ramai golongan wanita terlibat dalam perniagaan seterusnya menjana ekonomi dan pendapatan.
Dalam pada itu, Nancy turut mengulas mengenai Wejana 2023, katanya, program itu memberi fokus kepada golongan suri rumah yang terlibat dengan penjagaan tanpa gaji supaya mereka mampu memperoleh pendapatan dan pada masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.
“Objektif utama program itu ialah untuk membimbing peserta menjana sekali gus meningkatkan pendapatan kendiri dan memberi latihan sistematik bagi memulakan perniagaan khususnya dalam talian.
“35 daripada 200 peserta terpilih menyertai program itu adalah dari Sabah, dengan empat aspek diketengahkan dalam modul bimbingan iaitu pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, penjenamaan perniagaan serta perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, Wejana merupakan antara komitmen KPWKM untuk menyediakan ekosistem yang menyokong usaha meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi selain bantuan kewangan bagi program Wanita Bangkit menerusi Yayasan Kebajikan Negara.
Jelas beliau, ia merupakan kesinambungan program pemerkasaan wanita dilaksanakan secara strategik melalui agensi KPWKM bagi menjana pendapatan kaum wanita dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain.