PUTRAJAYA – Dalam usaha menerajui peluang ekonomi dan perindustrian di rantau Asean, Malaysia kini berada pada kedudukan baik dengan adanya inisiatif yang digariskan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kedua-dua kerangka itu berfungsi sebagai pemangkin untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Malaysia dilengkapi dengan tenaga kerja yang mampu berbahasa Inggeris, iklim politik yang stabil, rangka kerja ‘Common Law’ yang mantap dan persekitaran perniagaan yang matang.
“Amat penting bagi rakyat Malaysia, kita mesti memacu pemindahan kemahiran dan pengetahuan, melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama dengan matlamat membina masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Corporate Network (EICN), dan disokong oleh Maybank sempena sesi mengenai Perdagangan dan Industri dalam Peralihan.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, prospek pertumbuhan dan peningkatan kelas pertengahannya menyebabkan negara-negara anggota sangat menarik untuk dijadikan hab pengeluaran dan destinasi pasaran.
Tambah beliau, trend mega global terhadap peralihan geopolitik, pendigitalan dan peralihan hijau juga telah memberi manfaat kepada Malaysia dan Asean.
“Sehubungan itu, ia adalah peluang bagi negara-negara Asean untuk bekerjasama mewujudkan rantaian bekalan serantau yang bersepadu bagi mencapai pertumbuhan perindustrian yang signifikan secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, EICN berkata, Asean mencatatkan peningkatan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Kata kenyataan itu, ia menyumbang sebanyak 17 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI dunia pada 2022, naik dengan ketara berbanding 2.7 peratus pada 2002.
“Malaysia menarik FDI bernilai US$16.9 bilion pada 2022, nilai tertinggi bersejarah yang melebihi angka 2021 sebanyak hampir 40 peratus (US$1 = RM4.70).
“Purata US$14.6 bilion untuk 2021-2022 berbanding purata tahunan US$10 bilion pada 2010-an mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” kata kenyataan itu.
Jelas EICN lagi, pertumbuhan perdagangan barangan global akan kembali pulih menjelang awal 2024.
Beritahu kenyataan itu, aktiviti kilang dijangka akan lebih kukuh di Asia, dengan aktiviti lebih rancak di China.
“Ia turut menyokong penghantaran bahan mentah dan barangan perantaraan yang diperoleh daripada tempat lain di rantau ini.
“Kitaran elektronik yang pulih juga akan membantu perdagangan global,” katanya.