PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan memikirkan terlebih dahulu isu berkenaan rombakan Kabinet.
“Saya fikir dahulu,” jawabnya ringkas kepada media tempatan berkenaan timbulnya spekulasi bahawa rombakan Kabinet akan dilakukan.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberitahu tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Pada 25 September lalu, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan beberapa pusingan kerja dan pelantikan baru dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam melibatkan pemindahan empat Ketua Setiausaha (KSU) kementerian ke penempatan baru dan satu lantikan baru KSU.
Antara KSU yang terlibat ialah Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Dr Zaini Ujang berpindah sebagai KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Isham Ishak berpindah sebagai KSU Kementerian Pertahanan manakala jawatan KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal diisi Hairil Yahri Yaacob, yang kini Timbalan KSU MITI.
Sementara itu, KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof pula berpindah sebagai KSU Kementerian Perpaduan manakala KSU Kementerian Perpaduan Datuk Noridah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.