PUTRAJAYA – Parlimen Malaysia turut mempunyai peranan penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi dengan negara luar.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Membawa konsep ‘Parlimen Diplomasi’, Parlimen Malaysia memikul tanggungjawab untuk menyokong apa juga usaha yang dilakukan oleh Eksekutif atau Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memperkukuh hubungan diplomasi sekali gus dapat melonjakkan pembangunan, martabat dan ekonomi negara.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dua kali berkunjung ke China pada tahun ini dan lawatan delegasi legislatif negara ke republik itu juga merupakan isyarat penting bahawa hubungan diplomasi Malaysia-China amat baik.
“Parlimen Diplomasi bermaksud Parlimen ambil tanggungjawab untuk sokong apa jua usaha yang dilakukan Eksekutif dan dalam kes ini, lawatan ke China.
“Kalau PM sudah laksanakan tugas beliau dengan baik sebagai ‘jurujual’ dengan ‘jual’ kelebihan perdagangan kita, ‘jual’ suasana harmoni negara… saya fikir kita harus bantu beliau kukuh kedudukan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan sempena lawatan rasmi beliau ke Beijing, China.
Dalam pada itu, Johari berkata, lawatan delegasi legistatif ke Beijing amat signifikan kerana menonjolkan keutuhan hubungan diplomasi dengan China yang terjalin sejak 50 tahun lepas.
“Hubungan baik kita dengan China telah berlaku bukan sehari dua tapi sudah lama dan tahun depan kita akan meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia.
“Dengan dua kali lawatan PM dalam tempoh terdekat baru-baru dan jemputan Kerajaan China kepada saya ini beri isyarat bahawa kepada China, kita memang serius dalam hubungan ini,” katanya.
Beliau mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, menamatkan lawatan rasmi ke republik itu atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-14 Zhao Leji, hari ini.
Semasa lawatan sejak 23 September itu, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama Zhao, Pengerusi Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning dan Presiden China Xi Jinping selain menghadiri majlis pembukaan Sukan Asia Hangzhou 2023 serta melawat beberapa syarikat besar di negara itu dalam bidang teknologi, tenaga boleh diperbaharui, pertanian dan kecerdasan buatan (AI).