Bantu peniaga kawal kos operasi melalui lesen borong beli BPI – KPKM

- NASIONAL - 28/09/2023

PUTRAJAYA – Tindakan membenarkan persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil untuk melakukan pembelian beras putih import (BPI) pada harga borong iaitu RM160 setiap 50 kilogram (kg) sebenarnya bertujuan membantu mereka mengawal kos operasi dan memastikan harga nasi tidak dinaikkan. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memberitahu, langkah tersebut juga bertujuan untuk memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) dapat distabilkan dengan mengurangkan pembelian daripada golongan itu bagi kegunaan perniagaan. 

“Dalam hal ini, KPKM mengambil langkah berkenaan untuk mengimbangi keperluan beras bagi tujuan perniagaan dan kegunaan isi rumah dalam tempoh permintaan yang tinggi kepada bekalan BPT pada masa ini. 

“Persetujuan ini telah dicapai melalui sesi libat urus antara KPKM dan persatuan-persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil pada 15 Sept 2023,” kata kenyataan itu. 

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan berkenaan yang dikhuatiri mewujudkan monopoli, dan cadangannya untuk menaikkan harga siling BPT kepada RM34 setiap 10 kg. 

Mengulas lanjut, KPKM memberitahu harga BPT di peringkat runcit masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram sebagaimana tertakluk di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan No.4) 2008, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

Pada 24 September lalu, KPKM memutuskan akan memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Bernas dan persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong itu.

TAGS: