PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan negara meningkatkan ekonominya menjadi di antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam tempoh 10 tahun dan naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022.
Beliau berkata, sasaran berkenaan akan dimulakan dengan penumpuan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar serta meningkatkan rantaian nilai.
“Tumpuan utama penstrukturan semula ekonomi adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia. Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan semasa maka ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara empat hingga lima peratus.
“Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksanakan pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan sehingga enam peratus,” katanya dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu bahawa negara juga perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran ketika dunia berhadapan dengan kekangan rantaian bekalan.
Katanya, negara perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing untuk menembusi pasaran rantau Asean.
Pada masa sama, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, usaha kerajaan perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.
“Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” ujarnya.
Menerusi peluncuran Ekonomi Madani, Malaysia bukan sahaja diletakkan sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia, malah Ahli Parlimen Tambun itu menetapkan enam penanda aras lain yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Ia termasuklah Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia berada di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.