Pelaksanaan pantas Ekonomi Madani, Malaysia mampu catat perkembangan lebih 4.8 peratus – Penganalisis

- DUNIA - 01/08/2023

PUTRAJAYA- Malaysia berpotensi berkembang lebih 4.8 peratus jika naratif Ekonomi MADANI yang baru dilancarkan dilaksanakan dengan pantas dalam kalangan kementerian dan agensi-agensi kerajaan, kata penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata usaha kolektif itu semuanya bergantung kepada seberapa pantas kerajaan dapat melaksanakan program-program pembangunan mereka.

“Selain itu, pada masa yang sama, bagaimana ia boleh meningkatkan penyelarasan dalam kalangan kementerian dan agensi-agensi kerajaan supaya mereka tidak bekerja secara bersendirian dan mampu mengeluarkan hasil yang diharapkan,” katanya kepada media tempatan.

Mohd Afzanizam juga berkata penduduk Malaysia semakin bertambah dan negara dikurniakan dengan banyak sumber asli seperti minyak dan gas.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

“Apatah lagi kita ini adalah negara berbilang budaya, berbilang bahasa dan berbilang kaum dan ini menyediakan asas yang kukuh untuk pelaburan langsung asing dan bakat datang ke sini.

“Faktor-faktor ini bagus untuk perniagaan berkembang maju,” katanya, sambil menambah beliau berharap dapat menyaksikan pelaksanaan Ekonomi MADANI secepat mungkin demi kebaikan rakyat jelata.

Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai, 2023.

Kerangka ekonomi itu menggariskan dua bidang fokus utama, iaitu untuk menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

Rangka kerja itu juga akan menjadi asas kepada beberapa dasar khusus lain yang akan diumumkan kemudian, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menerusi pandangan yang sama, MIDF Research berkata Naratif Ekonomi MADANI telah mengenal pasti sasaran di peringkat tertinggi dan menjangkakan lebih banyak butiran akan didedahkan oleh setiap kementerian pada masa hadapan.

“Buat masa ini, kesan ke atas kedudukan fiskal kerajaan tidak boleh diukur sepenuhnya sehingga semua inisiatif didedahkan,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata penambahbaikan dalam ruang fiskal tahun ini didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan akan membolehkan kerajaan membiayai inisiatif yang telah diumumkan dalam Naratif Ekonomi MADANI seperti elaun untuk kakitangan awam dan kredit e-Tunai.

“Kami berpendapat dokumen itu menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas untuk negara dan jika dilakukan dengan betul, potensi pertumbuhan Malaysia boleh lebih tinggi daripada purata pertumbuhan 4.7 peratus sejak 1998,” katanya.

MIDF Research menjangkakan pengumuman pelan-pelan pembangunan lain, termasuk semakan pertengahan penggal RMK-12, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Belanjawan 2024, akan mengasimilasikan aspirasi dan sasaran yang sama seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju Ekonomi MADANI.

Ia juga berpandangan dokumen Ekonomi MADANI sebagai pelan hala tuju pembangunan ekonomi masa depan negara bagi kerajaan Persekutuan meningkatkan daya saing Malaysia menjadi juara serantau, merancakkan semula penyampaian perkhidmatan awam dan akhirnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Bukan sahaja kerajaan dan sektor awam, malah setiap unit dalam ekonomi juga akan memainkan peranan bagi memacu pertumbuhan negara ke peringkat seterusnya,” tambahnya.

TAGS: