24 syarikat P-Hailing capai persetujuan beri komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah pihak penghantar – Anwar Ibrahim

Saya telah mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan parcel hailing (P-Hailing) susulan komitmen yang saya berikan semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.


Menteri Pengangkutan, Menteri Komunikasi dan Digital, Menteri Sumber Manusia serta Pegawai Kanan Kementerian turut hadir dalam sesi ini.

Saya telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran .

Semasa sesi ini, lima orang wakil daripada penghantar turut sama hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.


Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan
kemahiran (upskilling).

Saya turut mendengar pandangan dan aduan
daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar lembah klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.

Setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.


Kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat.

Ikhtiar ini membuktikan Kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan
rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan. – Anwar Ibrahim

TAGS: