PUTRAJAYA – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menerima sokongan daripada kerajaan China untuk menjayakan rangka berkenaan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana China turut menyambut baik dengan cadangan Asian Monetary Fund (AMF) sebagai pemberi pinjaman pilihan terakhir kepada rantau ini semasa krisis kewangan berlaku.
“Pemimpin China memandang tinggi dan menyokong Malaysia MADANI dan konsep AMF,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena lawatan kerja beliau ke bandar raya ini bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat potensi besar bagi ASEAN dan negara-negara Campur Tiga termasuk China untuk berusaha ke arah cita-cita ideal dibayangkan di bawah AMF yang pernah dicadangkan selepas Krisis Kewangan Asia.
“Mewujudkan AMF, walaupun bercita-cita tinggi, adalah usaha yang patut diteruskan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan di rantau ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu dengan sokongan Li, syarikat-syarikat China kini lebih aktif melabur di Malaysia disebabkan penekanan diberikan dalam latihan, terutama latihan peringkat tertinggi.
Anwar berkata lagi, syarikat China mempunyai pandangan yang sangat baik terhadap prestasi, dedikasi dan disiplin dalam golongan profesional, jurutera, juruteknik dan pakar teknologi maklumat (IT) Malaysia.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, wujudnya kekurangan yang ketara dari segi ‘upskilling’ di peringkat tertinggi.
“Jadi, dalam semua perbincangan dengan syarikat China seperti China Communications Construction Company (CCCC) (yang bangunkan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Geely dan Huawei, saya tekankan syarat supaya menambahkan usaha penyelidikan di Malaysia dan latihan khas yang harus diselenggarakan untuk anak-anak Malaysia,” katanya.