PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tiada keperluan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapatkan perluasan kuasa dalam penguatkuasaan isu bekalan beras.
Beliau berkata, perkara itu hanya sesuai diadakan sekiranya bekalan barangan makanan berkenaan berada pada tahap meruncing.
“Kalau sampai ke peringkat meruncing barangkali kita akan libatkan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Namun, ketika ini belum sampai meruncing.
“Tapi insya-Allah, apabila berlaku tuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang sekarang ini telah lebih 20 peratus, kita jangka bekalan beras tempatan akan berada dalam pasaran dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas melakukan lawatan kerja bagi pelan intervensi pengedaran beras putih tempatan (BPT) di sebuah kedai runcit di Jalan Kebun Seksyen 30, Shah Alam pada Khamis.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menimbangkan supaya penguat kuasa KPDN diberikan perluasan kuasa berhubung isu bekalan beras itu.
Mengulas lanjut, Mohamad meminta orang awam tampil sekiranya terdapat bukti beras tempatan disorok atau kampitnya ditukar kepada beras import untuk pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Setakat ini hanya cakap-cakap, tiada bukti mengatakan kononnya ada tukar kampit dan sebagainya. Kalau tuan-tuan ada bukti sila beritahu, setakat ini hanya khabar angin yang kita tidak temui sebarang bukti secara rasmi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak semalam.
Menurut Mohamad, kementeriannya akan mengadakan perbincangan segera bersama pengilang dan pemborong untuk menambah stok BPT ke cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mengelak kejadian berulang.
Jelas beliu, kekecohan terjadi disebabkan stok yang sampai di dua lokasi itu tidak mencukupi dan menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana menunggu lama.
“Saya mengarahkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasar raya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada cawangan FAMA dan LPP.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik dan menyimpan stok bagi mengelakkan gangguan bekalan,” katanya.