Sistem pertahanan siber Malaysia pada tahap tinggi, terkawal

- NASIONAL - 25/09/2023

PUTRAJAYA – Sistem pertahanan siber Malaysia  berada pada tahap tertinggi dan terkawal daripada serangan siber. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata,, kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keseluruhan sistem komunikasi strategik ATM dalam satu rangkaian terselamat dan tidak mempunyai sambungan dengan rantaian internet luar.

Menurutnya, pada ketika ini, sistem pertahanan negara sentiasa berada di tahap keselamatan tertinggi. 

“Ia juga dikawal selia oleh Pusat Pemantauan Pertahanan Siber, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM.

“Dengan langkah berstrategik termasuk tiada sambungan rantaian internet luar, serangan siber ke atas sistem pertahanan negara pada masa ini berada dalam keadaan terkawal,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara pada Isnin. 

Sebelum ini, media melaporkan ATM menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber di bawah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan ATM pada 2015. 

Unit berkenaan antara yang bertanggungjawab memantau dan menghalang sebarang bentuk pencerobohan terhadap sistem pertahanan negara.

Bagi sistem yang memerlukan sambungan internet, Adly berkata, BSEP ATM memantau rapat sebarang aktiviti mencurigakan dengan BSEP sentiasa bersiap siaga mendepani sebarang bentuk kemungkinan serangan siber terkini.

“Kebiasaannya sistem yang memerlukan sambungan internet luar adalah lebih kepada hal-hal pentadbiran,” ujarnya. 

Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai 

usaha menangani serangan siber dalam bentuk pancingan data (phishing) dan serangan perisian (ransomware). 

Beritahu Adly, kementerian itu telah mengambil beberapa langkah proaktif, termasuk menjalin kerjasama dua hala dan pelbagai hala serta perkongsian maklumat ancaman siber dengan negara luar selain mewujdukan BSEP ATM.

Jelasnya, kementerian juga merancang untuk menubuhkan Pusat Pemerintahan Siber ATM bagi mewujudkan angkatan siber yang berkredibiliti, berteknologi tinggi dan berkepakaran dalam mendepani ancaman global.

TAGS: