PUTRAJAYA – Bagi tempoh Januari hingga Jun, terdapat penjimatan kira-kira RM4 bilion melibatkan subsidi elektrik ekoran langkah kerajaan untuk tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar menggunakan tenaga elektrik pada tahap tinggi mulai tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal RM14.9 bilion.
“Dalam memastikan perbelanjaan Kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara, maka adalah perlu menjadikan pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan sebagai keutamaan.
“Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan dengan mengenal pasti kaedah yang bukan sahaja berkesan. malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan yang paling minimum kepada Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Sim memberitahu, dalam konteks menentukan penerima subsidi yang layak juga perlu dipelbagaikan kerana jenis subsidi dan golongan pengguna adalah berbeza.
Jelasnya, penetapan kriteria kelayakan masih dalam penilaian kerana ia penting untuk dikaji dengan teliti agar agihan sumber dibuat dengan lebih cekap dalam masa yang sama mengurangkan kesilapan exclusion dan inclusion.
“Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas yang telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar bersesuaian yang melibatkan semua kumpulan masyarakat baik B40, M40 mahupun T20, sama ada di bandar atau kawasan luar bandar,” ujarnya.