PUTRAJAYA – Malaysia menzahirkan kesiagaan untuk bekerjasama rapat dengan China bagi menggalakkan pertukaran sesama rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun hadapan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, hubungan antara kedua-dua negara yang dibina hampir lima dekad menyebabkan Malaysia begitu menghargai China.
“Kami mahu melihat hubungan antara Malaysia dan China bertambah kukuh lagi kerana kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif tahun ini,” katanya.
Johari berkata demikian sewaktu berlangsungnya pertemuan dua hala dengan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC), Wang Huning, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, China pada Selasa.
Johari bukan sahaja mengadakan pertemuan dengan Wang, bahkan beliau turut bertemu dengan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Republik Rakyat China, Zhao Leji.
Dalam pada itu, Johari memberitahu lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 17 Sept lepas telah mencetuskan daya pendorong baharu untuk lebih banyak lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
“Pertukaran antara Parlimen Malaysia dan Kongres Rakyat Kebangsaan merupakan unsur penting bagi menggalakkan lebih persefahaman antara kedua-dua badan perundangan.
“Kami gembira dengan hasil lawatan rasmi Zhao ke Malaysia pada Mei 2023 dan pertemuan kami telah menyediakan daya pendorong baharu untuk meningkatkan pertukaran antara Ahli-Ahli Parlimen kedua-dua negara,” katanya.
Tambah beliau lagi, kedua-dua parlimen di Malaysia dan China telah mewujudkan Kumpulan Persahabatan masing-masing untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di peringkat Ahli-Ahli Parlimen.
“Ia menjadikan hasrat murni kami lebih banyak lagi pertukaran antara Ahli-Ahli Parlimen akan dimudah cara,” ujarnya.
Pertemuan beliau dengan kedua-dua pemimpin merupakan agenda utama lawatan rasminya ke republik ini, bermula dari 23 Sept atas undangan Zhao berikutan pertemuan dua hala mereka di Parlimen Malaysia pada 18 Mei lepas.
Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia M. Kulasegaran, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Datuk Awang Hashim dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia – Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Chiew Choon Man.