PUTRAJAYA – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan dasar dan kerangka cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2023 mendapat reaksi positif daripada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Wan Junaidi berkata, ahli kedua-dua Dewan berkenaan menyambut baik langkah pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk merealisasikan konsep pengasingan kuasa dalam negara walaupun ia berada dalam peringkat penggubalan.
“Seterusnya rang undang-undang ini dapat melaksanakan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas memartabatkan Institusi Parlimen Malaysia yang bebas daripada bendungan Cabang Eksekutif Kerajaan.
“Insya-Allah kami berharap agar rang undang-undang ini dapat dibentang pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini dan sesi taklimat pada malam tadi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mendapatkan maklumat awal.
“Pemakluman awal tersebut dibuat agar mereka memberi kerjasama dalam urusan pembentangan, laluan dan perbahasan rang undang-undang ini nanti di dalam Dewan masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Wan Junaidi memaklumkan pelaksanaan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kini berada di peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja Kabinet bagi mendapatkan persetujuan untuk Majlis Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat oleh Pejabat Peguam Negara untuk diedarkan kepada semua kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.