Ahmad Zahid arah keputusan permohonan sijil halal diberikan dalam tempoh 30 hari berkerja

- NASIONAL - 14/09/2023

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan bagi setiap permohonan untuk mendapatkan sijil halal, wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, tiada alasan untuk ia dilewatkan kerana sebelum ini ada rungutan yang mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun.

Menurutnya, ada juga antara pemohon yang mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.

“Laporan yang saya terima daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memperlihatkan bahawa mereka telah mengambil beberapa langkah proaktif dan keputusan kelulusannya telah dipercepatkan. Maklumat itu mungkin hanya maklumat di atas kertas, tetapi di luar sana masih terdapat rungutan.

“Harus ada keterlangsungan di antara proses memperbaiki dan mempercepatkan pengeluaran sijil itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Halal Sector Forum 2023.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mahu bengkel pensijilan halal diadakan tiga kali setahun bagi menyegerakan pengeluaran sijil halal kepada pemohon baharu dan mereka yang ingin memperbaharui sijil.

“Prosedur bagi memperolehi sijil halal juga perlu dipermudahkan supaya tidak menyusahkan pemohon dan perkara itu boleh dilakukan sekiranya terdapat kerjasama antara kumpulan agama dan pakar serta pemain industri halal.

“Kita harus keluar daripada kepompong bekerja secara silo,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, dalam menentukan pembaharuan pensijilan halal, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan kursus dengan silibus berdasarkan cadangan JAKIM khususnya dalam bidang halal.

Jelas beliau, inisiatif yang dilaksanakan MARA melalui Giatmara dan beberapa TVET lain diminta untuk menghasilkan lebih ramai juruaudit halal di dalam industri yang mengeluarkan produk halal.

Bukan itu sahaja, beliau turut memaklumkan bahawa Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga telah mewujudkan kursus yang berkaitan industri halal di peringkat Ijazah, Sarjana dan Doktor falsafah (PhD).

“Maka saya minta syarikat multinasional (MNC) serta syarikat besar terutama produk berasaskan eksport atau pekilang harus mengambil juruaudit halal menentukan piawaian dan tatacara halal ini dapat diikuti berdasarkan khidmat nasihat dan pandangan professional juruaudit ini.

“Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan, berdasarkan saranan Perdana Menteri bahawa langkah-langkah sinergi harus dilakukan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC), JAKIM, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan MARA agar penyelarasan dapat dilakukan segera,” katanya. 

TAGS: