Anwar, Erdogan sepakat ganda usaha bendung sentimen Islamophobia

- NASIONAL - 21/09/2023

PUTRAJAYA – Malaysia dan Turkiye sepakat untuk menggandakan usaha bagi membendung sentimen Islamophobia yang dilihat semakin tidak terkawal.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman sosial, Facebook pada Khamis. 

Dalam hantaran berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Turkish House, New York.

“Kami senada bahawa usaha memberi penjelasan perlu dipergiat. Sekiranya, isu mengenai Islam ini tiada jalan kesudahan maka natijahnya amat teruk untuk masa hadapan khususnya generasi akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar memberitahu pertemuan tersebut turut membincangkan keperluan untuk meningkatkan kerjasama dua hala terkait bidang pelaburan dan perdagangan antaranya melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membesarkan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG), kerjasama ekosistem pertahanan antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, beliau turut mengundang Erdogan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebelum berakhirnya tahun ini.

“Besar harapan saya agar hubungan dua hala dan jalinan kerjasama Malaysia dan Turkiye yang telah sekian lama terjalin akan kekal utuh dalam semangat persahabatan yang mampu membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya. 

TAGS: