PUTRAJAYA – Malaysia bakal menerima kepakaran dari Belanda bagi menambah baik sistem tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir dalam negara yang berlaku saban tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Seri Perdana pada Rabu , Anwar berkata, bantuan kepakaran dari Belanda itu diyakini dapat mengurangkan perbelanjaan negara yang mencecah bilion ringgit setiap tahun bagi melaksanakan pengurusan bencana banjir.
Katanya, beliau telah menerangkan kepada Rutte mengenai kepentingan menambah baik pelbagai keperluan di sungai-sungai dalam negara, terutama semasa menghadapi musim banjir.
“Saya juga terangkan kepada beliau mengenai belanja, umpamanya mutakhir ini keseluruhan (kos pengurusan) masalah banjir mencecah RM15 bilion. Rutte beritahu dengan kepakaran dan tekonologi baru, mungkin tidak perlu kos tinggi,” katanya.
Anwar turut menambah, Perdana Menteri Belanda itu turut memberi jaminan akan menyegerakan penghantaran pasukan kepakaran dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Anwar telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengambil tindakan lanjut berhubung kerjasama itu termasuk menyegerakan proses ketibaan pasukan pakar berkenaan ke Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, Malaysia dan Belanda bersetuju memperkasakan industri semikonduktur serta bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) melibatkan kedua-dua negara.
Selain itu, ujar Anwar, Malaysia turut bersetuju melaksanakan usaha penggalian dan pemulihan kapal karam lama di perairan negara termasuk kapal-kapal milik Belanda mengikut syarat ditetapkan.
Pada tahun 2022, Belanda adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM48.04 bilion (US$10.93 bilion).