PUTRAJAYA – Belanda menghormati pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan bersetuju perlu ada langkah segera untuk menghentikan serangan Israel ke atas Palestin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu telah dinyatakan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ketika mengadakan pertemuan di Seri Perdana di sini pada Rabu sempena lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia.
“Dia (Rutte) menjawab mengatakan pertamanya, dia setuju supaya ada langkah segerakan dan langkah berhentikan serangan.
“Dia minta laluan supaya dia terus menghubungi pemerintah Israel dan juga melalui Qatar supaya dapat ada rundingan hentikan serangan itu.
“Keduanya, dia setuju ada langkah tambahan seperti mana dia dapat teruskan melalui Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi. Jadi, saya sekurangnya puas hati dia (Rutte) dapat memahami pendirian kita (dalam isu Palestin),” kata beliau kepada media selepas pertemuannya dengan Rutte.
Anwar turut memuji sikap Rutte yang mengambil sikap prihatin untuk mendengar dan memberikan pandangan mengenai isu Palestin selain memberi jaminan supaya pandangan Malaysia akan dibawa untuk perhatian rakan-rakan Rutte di Eropah.
“Dia (Rutte) akui bahawa sentimen rakyat Belanda telah berubah, kalau dulunya mendukung serangan Israel dan sikap Eropah ini … sekarang majoriti itu tidak bersetuju tentang serangan berterusan,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa perlu ada usaha berterusan untuk menjamin keamanan dengan menghentikan serta-merta serangan ganas terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti anak kecil, wanita, orang awam serta kawasan seperti hospital dan sekolah.