KUALA LUMPUR – Program Budi95 diunjurkan menghasilkan penjimatan yang akan disalurkan bagi menguatkan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Kementerian Kewangan.
Langkah ini memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan dengan lebih tepat kepada mereka yang memerlukan.
Melalui Budi95, pemegang lesen memandu Malaysia yang sah boleh membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Bukan rakyat Malaysia akan dikenakan harga tanpa subsidi.
Perkara tersebut dinyatakan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang diumumkan pada Jumaat, 10 Oktober.
Menurut kementerian, selain Budi95, program rasionalisasi subsidi diesel dan inisiatif Budi Madani turut memberikan kesan yang baik.
Antara hasilnya ialah kurangnya ketirisan, penggunaan sumber yang lebih cekap dan penjimatan kepada fiskal kerajaan.
“Apabila subsidi menyeluruh diganti dengan kaedah bersasar, kerajaan dapat membetulkan herotan ekonomi yang telah lama wujud, sambil terus menjaga kebajikan rakyat melalui Budi Madani dan Budi95,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan bahawa program subsidi bersasar kerajaan telah merekodkan penjimatan melebihi RM7 bilion sepanjang tempoh setahun sejak mula dilaksanakan pada Jun 2024.
Pencapaian itu mengatasi unjuran awal penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion.
Peralihan ini juga mengurangkan tekanan ke atas fiskal kerajaan dan memberi ruang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang menjadi keutamaan.