Cadangan buka semula jalan pintas pejalan kaki di CIQ BSI – Saifuddin

- NASIONAL - 06/09/2023

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) edang meneliti cadangan membuka semula ‘jalan pintas’ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, jawatankuasa bersama yang dipengerusikan beliau dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dibentuk untuk meneliti perkara tersebut. 

Katanya, perkara tersebut sememangnya berada dalam perhatian KDN dan perbincangan di peringkat jawatankuasa itu sentiasa diberi perhatian termasuk inisiatif untuk memulihkan atau meredakan isu berkenaan. 

“Aspek yang disebut tadi merupakan satu daripada perkara yang sedang dalam perhatian.  

“Laluan lori, bas pekerja, kenderaan biasa termasuk motosikal dan pejalan kaki itu semua komponen yang menjadi perhatian kami dalam jawatankuasa ini,” katanya kepada media tempatan selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia, Johor Bahru. 

Jelas beliau, isu pejalan kaki termasuk jalan pintas antara perkara yang diberi perhatian serius oleh jawatankuasa itu.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan ratusan pejalan kaki termasuk wanita hamil dan warga emas, meminta jalan pintas itu dibuka semula susulan laluan yang lebih pendek berhampiran Hotel Lion lama (kini dikenali sebagai Hotel Hako) di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam akan menjimatkan masa kerana mereka kini terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer mengelilingi CIQ BSI.

TAGS: