KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berkembang antara 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2026, satu kadar sederhana berbanding 2025, berikutan persekitaran dunia yang masih mencabar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jangkaan itu bersandarkan unjuran pertumbuhan tahun ini antara 4 hingga 4.8 peratus.
Menurut Anwar, walaupun konflik di rantau dan isu tarif memberi tekanan dari luar, kekuatan asas dalam negara membolehkan Malaysia bertahan dan menyesuaikan diri dengan kejutan ekonomi.
Perkara itu beliau nyatakan dalam prakata Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang diterbitkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, 10 Oktober.
“Haluan reformasi struktur Malaysia bergerak di atas asas fiskal yang kukuh, mengukuhkan prinsip pengurusan kewangan awam yang cermat ketika dunia diliputi ketidaktentuan,” kata beliau.
“IMF dan Bank Dunia turut berkongsi keyakinan itu, apabila kedua-dua institusi mengekalkan pandangan positif terhadap Malaysia meskipun suasana global suram,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata ekonomi negara terus menunjukkan rentak yang stabil dan berdaya tahan, dengan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 yang meletakkan Malaysia antara yang terbaik di rantau ini.
Jelasnya, dorongan utama datang daripada permintaan domestik yang kukuh, aliran pelaburan yang tidak putus, peningkatan gaji serta pasaran pekerjaan yang stabil.
“Kedudukan Malaysia melonjak 11 tangga dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 ke tempat ke-23, membuktikan keyakinan terhadap asas kita dan merupakan kedudukan terbaik sejak 2020,” katanya.
Anwar menegaskan kerajaan tidak berganjak dalam menangani isu struktur yang lama tertanam seperti jurang pendapatan, ketidakseimbangan pembangunan wilayah, risiko perubahan iklim dan penuaan penduduk.
Pada masa sama, defisit fiskal berjaya dikecilkan daripada 5.5 peratus KDNK pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran seterusnya 3.5 peratus pada 2026 dan 3 peratus dalam tempoh sederhana melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam 2023 (Akta 850).
“Penampan fiskal perlu diperkukuh semula ketika kejutan ekonomi kian kerap dan lebih besar kesannya. Untuk merapatkan jurang defisit, reformasi fiskal dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, Akta 850 bersama Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 merupakan antara langkah mempertingkat akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan operasi kerajaan.
Anwar berkata penambahbaikan SST, pelaksanaan e-invois dan rasionalisasi subsidi bersasar termasuk diesel, RON95 dan elektrik telah menghasilkan penjimatan berjumlah berbilion ringgit.
Menurutnya, penjimatan itu disalurkan kembali kepada rakyat, dengan peruntukan STR dan SARA ditingkatkan 50 peratus dalam setahun kepada RM15 bilion untuk memanfaatkan sehingga 22 juta rakyat Malaysia.