GPM Teguh Bersama Malaysia dan Jepun, Perkasakan Harapan Gaza

31/01/2025
1 min read

KUALA LUMPUR – Global Peace Mission (GPM) Malaysia merakamkan penghargaan atas kesungguhan Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam misi menyegerakan pemulihan Gaza melalui kerjasama dengan Jepun.

Penubuhan dana pembangunan di bawah inisiatif Asia Timur itu diharap dapat menampung pelbagai projek pembinaan semula prasarana terpenting, termasuk institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan rumah ibadah di kawasan konflik.

Menerusi pelancaran #KempenPulihkanGaza pada 16 Januari lalu, GPM telah menyenaraikan beberapa fokus utama, antaranya menyediakan tempat tinggal baharu bagi rakyat Palestin yang terjejas, memulihkan semula Sekolah Tahfiz Siraj Al-Munir yang musnah akibat serangan, serta membantu pelajar di Gaza meneruskan pembelajaran tanpa gangguan.

Selain itu, GPM turut memperkukuh aspek sosioekonomi dengan merancang pembinaan semula Ladang Ternakan Ayam Moden dan Kilang Roti, selain meneruskan bantuan kecemasan seperti pengagihan khemah, bekalan air bersih dan makanan asasi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, ketika dihubungi pemberita, menegaskan betapa pentingnya semua pihak bekerjasama.

“Masyarakat Palestin memerlukan sokongan menyeluruh untuk bangkit semula. Kerjasama pelbagai agensi ini membawa sinar harapan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan,” katanya.

Orang awam yang ingin turut serta dalam usaha membangunkan semula Gaza boleh mendapatkan maklumat lanjut di :
E-mel: pr@gpm.com.my | Tel: (+60)19 241 1987 / (+60)3 4144 3441
Alamat: 33-1, Jalan 2a/27a, Seksyen 1, 53300 Wangsa Maju, Kuala Lumpur
Sumbangan: www.pedulipalestin.com

Jangan Ketingalan >>