Guna kaedah terbaik pastikan majikan akur Akta 446

- NASIONAL - 25/07/2023
Kementerian Sumber Manusia (KSM) V Sivakumar

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menggunakan kaedah terbaik dalam memastikan keperluan penginapan minimum bagi pekerja asing di negara dipatuhi.

Menterinya, V Sivakumar berkata, semua inisiatif telah dilaksanakan kementerian bagi memastikan peruntukan di bawah Akta 446 berkaitan penginapan minimum terutama kepada pekerja asing itu dilaksana majikan.

Jelas beliau, biarpun berdepan beberapa masalah untuk melaksanakannya, pihak kementerian yakin ia dapat diselesaikan.

“KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa mengadakan operasi ke tempat-tempat penginapan ini untuk memastikan bahawa majikan menyediakan tempat penginapan yang sesuai. Tetapi pada masa yang sama kita juga sedang merancang kaedah lain untuk membuat penempatan di kawasan perkilangan supaya masalah ini dapat kita selesaikan dalam tempoh terdekat.

“Banyak lagi inisiatif-inisiatif yang diambil oleh pihak kementerian bagi memastikan penginapan yang diberikan kepada pekerja ini berada pada tahap ataupun keadaan yang baik,” katanya.

Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 menguatkuasakan kehendak dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh majikan berkaitan penyediaan perumahan dan penginapan serta kemudahan kepada pekerja.

Penguatkuasaan ini bertujuan memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan.

Selain itu, penguatkuasaan ini juga bertujuan mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan kondusif.

TAGS: