Isu pertama adalah berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negara ini. Beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan Beta kepada Perdana Menteri, bahawa isu berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat MKI. Pandangan Beta ini juga telah dipersetujui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Beta juga berpandangan, memandangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini merupakan isu yang sensitif di kalangan penganut Agama Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di negeri Sabah dan Sarawak ini, maka ianya perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.
Mesyuarat MKI pada sidang kali ini membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif. Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negara ini dimuktamadkan.
Berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidangkuasa Mahkamah-mahkamah Syariah, Beta melihat bahawa terdapat beberapa kes terkini yang sedang berlangsung menggambarkan kedudukan Enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar yang sekali gus menjejaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya. Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Jawatankuasa Khas ini perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dibuat. Beta berharap YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama Islam) dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas tersebut dan mengemukakan syor kepada MKI dan seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan ini.
Mengenai pembangunan industri halal, Beta menggesa agar urusan pensijilan halal di peringkat domestik dan antarabangsa terus dikekalkan di bawah JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Raja Raja Yang Ke-222 pada 12 Oktober 2010. Beta mahu agar Kerajaan Malaysia mengambil langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan halal (Malaysia Halal Excellence Centre) terunggul di peringkat dunia. Langkah ini penting untuk melonjakkan legasi Malaysia sebagai peneraju halal global demi menjana kemajuan ekonomi umat Islam di Malaysia. Beta menyarankan agar pihak kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri melengkapkan keperluan sumber tenaga manusia, infrastruktur dan logistik di Bahagian Pengurusan Halal masing-masing agar pengurusan pensijilan halal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan bagi memenuhi tuntutan industri halal pada masa kini tanpa membelakangkan aspek integriti dan perundangan Negara. Beta menyarankan agar masalah kekurangan bekalan daging halal bermutu ini dapat segera di atasi dan proses mendapatkan pensijilan halal tanpa karenah birokrasi yang membebankan perlu segera diperkenalkan.
Menyentuh berkenaan komitmen MKI dalam memperkasa Pendidikan Islam, Beta berpandangan, adalah merupakan manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus Institusi Pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan lebih baik dan teratur. Dalam hubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan institusi pendidikan itu berkualiti serta memenuhi aspirasi ibu bapa, masyarakat dan Negara untuk melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat. Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dan pihak PBT Selangor kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar. Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat Beta kesali kerana ianya telah secara tidak langsung merisaukan para ibubapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap Institusi Agama dan Pihak Berkuasa Agama khususnya di negeri Selangor. Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas. Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andaikata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Pada hakikatnya Beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu.
Beta menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar. Beta juga mencadangkan agar pihak JAKIM menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran Institusi-institusi Tahfiz Swasta dan Persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri.
Semasa Beta menunaikan haji di Tanah Suci baru-baru ini, Beta dapat saksikan sendiri masyarakat pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, darjat yang berbeza tidak menghalang umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk melaksanakan ibadah Haji dengan aman, tertib dan teratur. Malah ibadah Haji memberikan suatu kesedaran bahawa di sebalik segala perbezaan yang ketara pada zahirnya, namun pada hakikatnya umat Islam bersaudara dan membentuk suatu kesatuan yang utuh dengan berkiblatkan ke arah yang satu yakni Baitullah al Haram. Hasrat untuk melihat perpaduan yang lebih kukuh di kalangan umat Islam di Negara ini haruslah bermula daripada kepimpinan alim ulama kita sendiri, khususnya dalam kalangan Mufti-mufti dan Ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI. Beta perhatikan kadangkala masih ada kecenderungan di kalangan sesetengah pihak untuk membangkitkan pendapat dan pandangan secara terbuka berkaitan beberapa isu sensitif yang seharusnya dibincang melalui forum MKI.
Beta berasa dukacita dengan dakwaan sebelum ini yang mempertikaikan kaedah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadhan serta menentukan anak bulan Syawal. Ini kerana walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui. Ini sudah tentunya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang kepada perpecahan. Beta menyarankan bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang, JAKIM hendaklah mengeluarkan satu ketetapan yang muktamad berkaitan dengan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadhan serta menentukan anak bulan Syawwal melalui ruqyah dan hisab.
Suka Beta mengingatkan bahawa MKI adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya. Keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan yang amat penting di dalam menyelaras hal ehwal Islam. Justeru itu, Beta amat berharap agar negeri- negeri yang masih belum menganggotai MKI dapat menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah MKI ini secara rasmi.
*Dipetik dari laman Facebook Selangor Royal Office.