KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan fokus memperluas jaringan komuniti melalui Bajet 2026 dengan menaikkan jumlah Kampung Angkat Madani kepada 500 dan Sekolah Angkat Madani kepada 1,500 buah pada tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penglibatan sektor swasta juga digalakkan bagi memastikan manfaat sampai terus kepada rakyat.
Beliau menambah, peruntukan RM1 bilion disalurkan untuk memperkukuh “Ikhtiar Madani Untuk Rakyat” yang menumpukan pemerkasaan komuniti, peningkatan pendapatan belia dan pembangunan luar bandar.
Menurut Anwar, program Sejati Madani turut diperluas supaya belia terlibat secara langsung dalam projek berasaskan komuniti.
Antara peluang yang ditawarkan ialah mengendalikan mesin layan diri serta menyertai perusahaan pertanian melalui penggunaan sistem fertigasi.
“Pimpinan negara bersama pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, telah turun ke lapangan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi kampung serta sekolah,” ujar beliau ketika membentangkan Bajet 2026.
Anwar berkata pendekatan ‘turun padang’ itu akan diteruskan seiring peluasan program pembangunan komuniti.
Program Solar Madani yang menyiapkan 4,000 lampu jalan solar di Sabah akan diperluas ke kampung seluruh negara bagi menambah baik keselamatan dan akses prasarana asas.
Beliau memaklumkan, Sejahtera Madani sebagai program sumbangan sektor swasta untuk membasmi miskin tegar setakat ini berjaya menghimpunkan RM120 juta.
Kerajaan menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang, khususnya syarikat korporat yang konsisten menyokong agenda kebajikan.
Bagi merancakkan lagi penyertaan, syarikat dan individu berpendapatan perniagaan yang memberi sumbangan kepada Kampung Angkat, Sekolah Angkat Madani atau Sejahtera Madani akan diberi kelayakan potongan cukai.
“Inisiatif ini menggambarkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam mengangkat martabat rakyat di bawah kerangka Madani,” kata Anwar.
