Kepentingan hak asasi manusia selari dengan konsep Malaysia Madani –  Anwar Ibrahim

- NASIONAL - 04/06/2024

KUALA LUMPUR – Kepentingan hak asasi manusia selari dengan apa yang dibawa dalam konsep Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook, Anwar berkata, perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk pada Selasa.

“Sebuah negara perlu ada wawasan bertunjangkan nilai asas yang diperlukan di dalam masyarakat harmoni, berkembang maju dan aman tanpa melupakan konsep ihsan serta hak asasi manusia,” katanya.

Anwar berkata lawatan Volker dan delegasinya ke Malaysia adalah atas jemputan kerajaan.

Beliau turut menambah, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai hak asasi manusia untuk dikongsi bersama seluruh rakyat jelata tidak mengira latar belakang, agama mahupun kaum.  

Menerusi kenyataan berasingan, Anwar berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Emiriah Arab Bersatu, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi.

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, iaitu kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam bidang ekonomi.

“Alhamdulillah, banyak kerjasama yang telah diusahakan antara agensi dan juga syarikat kedua-dua negara sebelum ini dan juga yang dirancang pada masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Yang Komprehensif (CEPA) yang sedang dirunding, Malaysia dapat menerokai kerjasama ekonomi dan komitmen yang lebih mendalam dan mampan.

Tengku Zafrul pula berkata kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu menjelang tahun ini.

Sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ia dijangka membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi lebih mendalam dan memupuk persekitaran kondusif untuk peningkatan aliran perdagangan serta pelaburan. 

TAGS: