KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang menilai keperluan semasa untuk mewujudkan jawatan baharu pegawai perlindungan data dalam setiap organisasi, melalui pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu yang bertujuan melindungi data peribadi individu, antara yang dipertimbangkan dalam pindaan akta dan dijangka dibentang di Parlimen seawal Oktober ini.
“Satu aspek yang kita lihat ialah pegawai perlindungan data ini, penting bagi organisasi berkenaan masalah penjagaan data oleh setiap organisasi.
“Kita di KKD melihat ada keperluan untuk ada jagaan data tetapi semua tertakluk kepada proses untuk mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan dan Jemaah Menteri.
“Sekiranya diluluskan Jemaah Menteri, kita akan bawa pindaan ini paling awal Oktober tahun ini dan paling lewat bulan Mac (tahun depan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Fahmi berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang merangka Rang Undang-Undang Keselamatan Siber untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dan ia dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Kita akan bawa kepada Jemaah Menteri dulu, sebelum perincian kepada rang undang-undang itu dapat kita jelaskan di khalayak umum dan prosesnya sedang berjalan, dan saya percaya tak lama lagi NACSA akan sampaikan apa yang terkandung dalam rang undang-undang itu,” katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Fahmi berkata, Malaysia kini kekurangan 12,000 profesional keselamatan siber, dan bagi mengatasinya, kerajaan kini sedang menambah baik sokongan dan laluan untuk pendidikan keselamatan siber.
Beliau berkata, buat masa ini, terdapat sejumlah 15,248 pekerja berpengetahuan keselamatan siber di Malaysia, manakala menurut kajian terkini Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan CyberSecurity Malaysia, negara memerlukan 27,000 pekerja berpengetahuan keselamatan siber, menjelang akhir tahun 2025.
“Terdapat kekurangan profesional keselamatan siber yang meruncing, yang bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang tepat, tetapi juga mempunyai kreativiti dan pemahaman mendalam mengenai teknologi dan juga kelakuan manusia,” katanya.