Kerajaan bakal kaji dasar penggunaan dron dalam industri penghantar barang – Fahmi

- NASIONAL - 26/09/2023

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji dasar berkaitan penggunaan dron dalam industri perkhidmatan penghantaran barangan susulan perkembangan penggunaan instrumen berkenaan kini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, walaupun aspek penerbangan dron terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, namun penggunaan frekuensi atau spektrum itu adalah di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, KKD dan MCMC juga akan meneliti beberapa perkara berkaitan hala tuju industri kurier.

“Justeru, saya lihat ada keperluan untuk MCMC mengadakan perbincangan dan mungkin meneliti beberapa perkara supaya dasar adalah selaras dengan apa yang kita lihat sebagai potensi industri dron, terutamanya untuk penghantaran barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas melawat Ibu Pejabat DHL Express Malaysia di Menara TM pada Selasa. 

Menurutnya, pasca pandemik menyebabkan banyak syarikat penghantaran barang menghadapi sedikit cabaran. 

“jadi di pihak KKD dan MCMC, kita sedang meneliti beberapa perkara yang saya harap tidak lama lagi kita dapat buat sedikit pengumuman berkaitan indikasi tentang hala tuju industri kurier yang dikawal selia oleh MCMC,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan, kerajaan menerusi MCMC telah melaksanakan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) pada tahun 2021 bagi menyokong pertumbuhan industri pos dan kurier, ke arah mencapai 30 parcel per kapita menjelang 2025.

“Inisiatif PAKEJ disasar membekalkan Malaysia dengan perkhidmatan kurier terbaik menerusi dengan asas 4R, yakni Boleh Dipercayai (Reliability) dari segi kualiti perkhidmatan; Liputan (Reach) yang lancar, Relevan menerusi pertumbuhan industri, dan Daya Tahan (Resilience) kemampanan.

“Adalah diharapkan inisiatif ini akan melonjakkan lagi pertumbuhan industri kurier, mengukuhkan ia sebagai enjin utama dalam memastikan kejayaan e-commerce dan ekonomi digital di Malaysia,” katanya.

TAGS: