Kerajaan perpaduan akan jalin lebih banyak kerjasama awam-swasta untuk memerangi jenayah siber – Fahmi

- NASIONAL - 17/08/2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan perpaduan komited untuk menjalin lebih banyak kerjasama merentasi sektor awam dan swasta bagi memerangi jenayah siber, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. 

Fahmi berkata, Kerjasama Awam Swasta atau PPP adalah salah satu cara paling berkesan untuk memerangi jenayah siber kerana ia dapat membentuk satu platform sinergi dan neutral di mana pemain industri keselamatan siber dan kerajaan boleh bekerjasama rapat, sekali gus memperkasakan tindak balas yang lebih pantas terhadap serangan siber.

“Perkongsian antara kerajaan dan industri perlu terus berkembang, membina kepercayaan, bersikap terbuka kepada cabaran, berkongsi data dengan lebih efektif.

“Kami secara aktif bekerjasama dengan rakan kongsi daripada pemain industri untuk memberi amaran dan bertindak balas terhadap insiden, dan menawarkan bimbingan serta latihan kepada komuniti kami untuk kekal selamat dalam talian,” katanya.

Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 bersempena Ekspo dan Persidangan Asia Pertahanan dan Keselamatan Siber (DSA) 2023 di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan pengerusi lembaga CSM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Fahmi juga berkata keselamatan siber akan terus menjadi asas dan prasyarat kritikal untuk kehebatan ekonomi digital Malaysia.

“Kita mesti menyepadukan keselamatan siber ke dalam fabrik inovasi ini, memastikan bahawa langkah keselamatan bukanlah sesuatu yang difikirkan kemudian tetapi komponen intrinsik reka bentuk dan pelaksanaan.

“Sebagai contoh, setakat Julai tahun ini, CSM (CyberSecurity Malaysia) telah menerima 3,327 insiden siber penipuan yang menyumbang sebanyak 62 peratus daripada ancaman tahun setakat ini,” katanya.

Bercakap mengenai pembangunan pelancaran rangkaian 5G di Malaysia, Fahmi berkata inisiatif itu telah mencapai liputan 66.8% kawasan berpenduduk setakat Julai 2023.

Beliau berkata keadaan semasa menunjukkan kementerian berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80% liputan rangkaian 5G menjelang akhir tahun.

TAGS: