Kerajaan pertimbang benar ikat jamin SOSMA – Ramkarpal

- NASIONAL - 23/08/2023

PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang mempertimbangkan penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berkaitan membenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan selesai bagi tahanan. 

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, perkara berkenaan merupakan antara syor utama yang sedang diteliti untuk menambah baik akta tersebut dan kini usaha berkenaan hampir selesai. 

“Beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan ahli keluarga tahanan SOSMA telah diadakan dan syor-syor yang diterima akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat.

“Syor menjamin (ikat jamin tahanan) adalah isu yang kami sedang teliti sekarang. Pemansuhan (akta) tiada dalam perancangan tetapi kami sedang meneliti penambahbaikan,” katanya kepada media tempatan. 

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa kesemua penambahbaikan SOSMA akan dilaksanakan secara berperingkat.

Pada 16 Februari lalu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa kerajaan tidak berhasrat memansuhkan akta berkenaan namun akan melaksanakan penambahbaikan.

Jelas beliau, PDRM masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegelisahan awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Ramkarpal turut menyeru warga Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) terus memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan saling menghormati selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan elemen perpaduan.

TAGS: