KKD akan pergiat usaha perkenal konsep Malaysia MADANI

- NASIONAL - 26/09/2023

PUTRAJAYA – Dalam memperkenalkan konsep Malaysia MADANI kepada rakyat, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan terus meningkatkan usaha untuk memberi pemahaman mengenainya.

Timbalan Menteri berkenaan, Teo Nie Ching berkata, perkara tersebut dapat dibuktikan menerusi Jabatan Penerangan (JaPen) telah melaksanakan 32 program ‘Kita MADANI’. 

“Program berkenaan melibatkan 27,170 orang serta 2,848 program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA ) di seluruh negara yang melibatkan 227,583 orang, meliputi semua kawasan parlimen termasuk 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Sebanyak 4,929 hebahan daripada program ‘Info On Wheels’ (IOW) meliputi 19,406 lokasi dan dianggarkan hebahan itu telah disampaikan kepada 1,151,872 pendengar,” katanya. 

Nie Ching berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi KKD di Dewan Negara, pada Selasa. 

Beliau memberitahu, dari Januari hingga 24 September ini, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah menghasilkan lebih 480 artikel berkaitan konsep Malaysia MADANI bagi memberi penjelasan yang lebih khusus kepada rakyat. 

“Bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, saluran TV1 telah menyiarkan 2,245 bahan penyiaran berkaitan Malaysia MADANI yang disiarkan melalui  pesanan khidmat masyarakat (PSA), video pendek, promo serta kapsul manakala TV2 menyiarkan sebanyak 2,067 laporan dalam pelbagai format penyiaran termasuk kapsul, PSA dan promo.

“TV Okey pula menyediakan sebanyak 2,728 laporan Malaysia MADANI dalam kapsul, PSA, video pendek dan promo,” katanya.

Jelas Nie Ching, komitmen kerajaan dalam menyampaikan pemahaman kepada rakyat turut dilaksanakan dalam bentuk laporan berita dengan RTM menyiarkan 772 laporan berita TV serta 969 laporan berita radio dari Januari hingga September ini. 

Tambah beliau lagi, Radio RTM juga menyiarkan 152 kapsul dengan purata kekerapan empat kali sehari atau purata siaran 608 kali sehari di semua 34 radio milik RTM termasuk stesen radio negeri dan daerah, selain 92 program temu bual.

TAGS: