KKM lancar edisi kedua garis panduan mencegah, menangani kekerasan

- TERKINI - 24/07/2023
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan

PUTRAJAYA – Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Warga Kerja Kementerian Kesihatan (KKM) di Fasiliti Kesihatan yang ditambah baik dilancarkan pada 10 Mei.

Dalam kenyataan sempena pelancaran garis panduan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata garis panduan edisi kedua itu adalah penambahbaikan garis panduan sedia ada yang diterbitkan pada 28 April 2017 dari segi definisi, skop, pengendalian kes kekerasan dan proses notifikasi.

Beliau berkata kekerasan di tempat kerja telah dikenal pasti sebagai antara cabaran utama di tempat kerja dan perbuatan itu dalam apa jua bentuk sama ada serangan fizikal, verbal, seksual mahupun bertulis boleh mengganggu produktiviti warga kerja KKM.

“Melalui garis panduan terbaharu ini, adalah diharapkan kekerasan terhadap warga KKM dapat ditangani dengan lebih berkesan serta memastikan keselamatan serta kesejahteraan tempat kerja di KKM terpelihara,” katanya.

Menurutnya statistik pelaporan kes kekerasan yang diterima KKM sejak 2017 menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 167 kes dilaporkan pada 2017 pascapelancaran garis panduan edisi pertama.

Katanya sebanyak 442 kes dilaporkan pada 2018, manakala 494 kes (2019), 321 kes (2020) dan 260 kes ( 2021) semasa fasa pandemik COVID-19.

“Kekerasan terhadap warga KKM memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal, seterusnya menjejaskan prestasi kerja.

“Ini boleh menjejaskan kualiti penjagaan perubatan dan menyebabkan kerugian dari aspek perbelanjaan dalam sektor kesihatan,” katanya.

TAGS: