PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Rabu akan mula melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT), yang memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi komersial dan pemborong beras di seluruh negara.
Dalam kenyataan media pada Rabu, KPKM berkata, operasi itu bagi bertujuan untuk memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada selain menepati syarat yang ditetapkan oleh kementerian.
“KPKM ingin mengingatkan pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI) dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import (BPI),” menurut kenyataan itu.
KPKM berkata, pihaknya memandang serius video yang tular di laman sosial berkaitan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan baru-baru ini.
Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang didapati melakukan kesalahan perihal kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta 522, dan individu yang terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Kementerian itu berkata penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).