KPKT bakal perkenal akta khusus pembaharuan semula bandar

- NASIONAL - 06/09/2023

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti proses menyediakan satu akta baharu berkaitan pembaharuan semula bandar. 

Menurut Menterinya, Nga Kor Ming, kini pembaharuan semula bandar dilaksanakan melalui sembilan akta dan perundangan yang merentasi bidang tugas pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Katanya, disebabkan negara tiada perundangan khusus maka terdapat beberapa perkara yang telah merencatkan usaha ke arah pembaharuan semula bandar. 

“Akta khusus itu disediakan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan menjalankan Analisis Impak Peraturan (RIA) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), bagi menilai keperluan akta khusus yang selari dengan amalan negara maju.

“Akta baharu itu, dijangka dibentangkan di Parlimen akhir tahun hadapan yang akan membawa impak besar kepada ekonomi negara, selain membolehkan GPP PSB diguna pakai di seluruh negara,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB). 

Beritahu Kor Ming, tujuan GPP PSB diperkenalkan kerana tadbir urus pembaharuan semula bandar berbeza adalah mengikut negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta tiada amalan yang seragam di seluruh negara.

Katanya, GPP PSB akan dijadikan panduan dan rujukan utama Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, PBT, pemaju dan pihak berkepentingan lain, untuk memajukan semula kawasan perbandaran usang dan terbiar.

Beliau memaklumkan bahawa KPKT menekankan agar pembaharuan semula bandar diberi perhatian serius memandangkan kadar perbandaran Malaysia dijangka meningkat sehingga 85 peratus menjelang 2040

Pada masa sama, beliau berkata pangkalan data geospatial pembaharuan semula bandar, akan diwujudkan KPKT melalui PLANMalaysia.

“Peranan pangkalan data geospatial, sebagai inventori lokasi dan maklumat tapak kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pembaharuan semula bandar bagi seluruh negara dan dilengkapi dengan maklumat seperti usia bangunan atau kawasan, status keadaan bangunan dan lain-lain,” katanya.

Beritahu Kor Ming, sebagai contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ketika ini memiliki data tersebut dengan 139 tapak seluas 1,297 hektar, telah dikenal pasti dan wajar dibangunkan semula.

TAGS: