PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM10.73 juta projek pembangunan melibatkan proses menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam serta penggantian lif di sekitar Tambun, Ipoh, Taiping dan Teluk Intan.
Menurut Menteri KPKT, Nga Kor Ming, kesemua projek naik taraf berkenaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
“Proses menaik taraf bagi kerja-kerja di Parlimen Tambun akan dilaksanakan oleh MBI yang mana ia melibatkan penyelenggaraan infrastruktur seperti penggantian longkang, bumbung pasar awam, lampu jalan, menurap jalan, baik pulih pagar di kampung-kampung baru dan sebagainya dengan anggaran kos peruntukan bernilai RM4.95 juta.
“Sementara itu, sebanyak RM5.78 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja mengecat bangunan, penggantian bumbung, baik pulih, penggantian pagar serta penyelenggaran lif rumah pangsa sekitar Tambun, Taiping dan Teluk Intan,” katanya kepada media tempatan selepas sesi lawatan kerja sempena Program Sentuhan KPKT.
LPHP pula diberikan peruntukan bernilai RM5.78 juta bagi kerja-kerja mengecat bangunan, penggantian bumbung, baik pulih, penggantian pagar serta penyelenggaran lif rumah pangsa sekitar Tambun, Taiping dan Teluk Intan,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, semua peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.
“Harapan saya ialah kita semua terus bersemangat memberi yang terbaik dan kekal komited berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat serta rakyat Malaysia secara amnya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi pembinaan Pasar Awam Pasir Pinji yang bakal memulakan kerja-kerja awalan sekitar September tahun ini.
Ujarnya, bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar, setiap para penjaja di pasar awam berkenaan akan dipindahkan di pasar awam sementara pada Februari tahun hadapan.
Jelasnya, pembangunan tersebut merupakan projek berskala besar bagi menggantikan pasar lama yang telah berusia 50 tahun.
“Pembinaan itu secara tidak langsung akan memberi manfaat dan keselesaan kepada orang ramai terutama penduduk sekitar dan kawasan Ipoh,” katanya.