KPWKM sedia bantu lancar penempatan sementara, Baitul Mahabbah

- NASIONAL - 06/09/2023

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan hasrat untuk sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membantu melancarkan inisiatif penempatan sementara Baitul Mahabbah bagi kanak-kanak warga asing.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, menerusi perbincangan awal telah mencapai kata sepakat yang mana KDN akan menyediakan premis untuk penempatan sementara manakala KPWKM menawarkan khidmat penjaga.

“Ketika ini beberapa badan bukan kerajaan (NGO) juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima kanak-kanak warga asing itu di premis mereka.

“Sebenarnya sebelum ini memang KDN sudah berbincang dengan kita (KPWKM) untuk menempatkan di institusi kami, tetapi kalau secara segera itu kami belum mendapat kebenaran lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas majlis meraikan jualan RM1 juta Persatuan Pembangunan Artisans (PPA). 

Pada 4 September lalu, KDN telah membuka penempatan sementara iaitu Baitul Mahabbah bagi kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di depot imigresen. 

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun di penempatan berkenaan. 

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata PPA menerusi The Artisans Haven telah mengutip RM1 juta jualan sejak penubuhannya pada 2020.

Jelasnya, hasil jualan itu membuktikan kreativiti serta dedikasi usahawan wanita dan komuniti, selain mencerminkan sokongan pelbagai pihak kepada golongan tersebut.

“Saya difahamkan bahawa 10 peratus dari keseluruhan jualan tersebut datang dari entiti korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menyokong dan memperkasa komuniti wanita dan perniagaan kecil tempatan.

“Sokongan daripada sektor korporat dan SME ini amat bernilai. Ia bukan sahaja membantu mendorong perkembangan usahawan wanita dan komuniti, malah memberikan impak sosial yang positif,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru agar syarikat korporat lain untuk mengikut jejak langkah sama untuk memperkasakan usahawan wanita, komuniti dan individu yang memerlukan bantuan.

TAGS: