Laksana projek rumah berpendapatan rendah di kawasan bandar bantu B40, M40 miliki kediaman

- NASIONAL - 23/08/2023

PUTRAJAYA – Pembinaan projek perumahan berpendapatan rendah di kawasan bandar secara tidak langsung membantu golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman bersesuaian dengan status kewangan mereka.

Pensyarah ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Jain Yassin berkata, pihaknya mengalu-alukan saranan kerajaan agar lebih ramai pemaju mengambil pendekatan sedemikian. 

Menurutnya, berdasarkan kajian di lapangan, ia menunjukkan permintaan untuk rumah yang berharga rendah adalah tinggi terutama di kawasan bandar dan subbandar.

“Bagaimanapun, jumlah perumahan yang dibina oleh pemaju adalah terhad menyebabkan ramai daripada mereka (B40 dan M40) ‘bergelut’ untuk memiliki rumah sendiri. 

“Sedangkan ia merupakan keperluan utama untuk menjalani kehidupan yang baik berbanding hendak menyewa,” katanya. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di ibu negara pada Khamis menekankan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan.

Justeru, Anwar memberitahu beliau mahu pemaju membina lebih banyak projek perumahan berkenaan di kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Jain berkata, beberapa perkara perlu diperhalusi kerajaan bagi memastikan pemilikannya kelak benar-benar memanfaatkan individu yang memerlukan.

Jelas beliau, proses tapisan pembelian rumah perlu diperketatkan kerana pernah berlaku rumah yang dibeli tidak dihuni sendiri oleh pembeli.

“Sebaliknya rumah yang dibeli itu disewa atau dijual semula kepada individu lain dan secara tidak langsung menyebabkan ketidakadilan kepada golongan yang benar-benar memerlukan rumah,” ujarnya. 

Namun demikian, beliau memberitahu mengetatkan tapisan itu tidak bermaksud untuk menyukarkan proses pembelian rumah, sebaliknya hanya mahu berlaku adil. 

TAGS: