Laksana tindakan segera pastikan kesalinghubungan kampus semakin baik – KKD, KPT

- NASIONAL - 25/07/2023
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan tindakan segera bagi memastikan kesalinghubungan di kampus semakin baik.

Perkara itu dinyatakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ciapan di laman Twitter rasminya hari ini sebagai respons kepada permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau memberi keutamaan supaya kesalinghubungan di kampus adalah lebih baik.

Fahmi berkata beliau berhubung dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai perkara itu dan menyatakan isu utama mengenai kesalinghubungan di kampus adalah berkaitan jalur lebar talian tetap di dalam bangunan dan asrama.

“Saya telah berhubung dengan Menteri KPT @KhaledNordin (Mohamad Khaled) – isu utama ialah jalur lebar talian tetap di dalam bangunan dan asrama.

“Insya-Allah @kkd_gov (KKD) @MOHEOfficial (KPT) @MCMC_RASMI (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) akan segera usahakan,” katanya.

Terdahulu, semasa Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok di Kedah, Anwar meminta KKD memberi keutamaan berkaitan kesalinghubungan Internet yang lebih baik di kampus universiti seluruh negara.

Perdana Menteri berkata kemudahan Internet di kampus universiti merupakan satu keperluan asas dan menjadi elemen penting yang harus disediakan seperti buku teks.

“Jadi dalam beberapa bulan yang lalu di Universiti Teknologi Mara dan Universiti Kebangsaan Malaysia ia dibangkitkan maka sudah ada rancangan dimasukkan dalam KKD di bawah saudara Fahmi untuk memberikan keutamaan bagi semua kampus diberikan kesalinghubungan yang lebih baik.

“Kebetulan di antara cadangan (dalam pertemuan dengan) Elon Musk yang akan dikemukakan kepada saya termasuk ada beberapa fasiliti baharu. Kadang-kadang kita nak tunggu sistem rangkaian yang terlalu terperinci, nak tunggu rangkaian 5G itu akan memakan masa satu dua tahun.

“Jadi ada cadangan yang akan dikemukakan dan saya akan beri respons, dan mudah-mudahan kalau dapat kita boleh pastikan kemudahan itu dan pasang di semua universiti tahun ini juga,” katanya.

TAGS: