PUTRAJAYA – Setelah mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti telah memenuhi keperluan dasar gaji progresif, majikan akan menerima insentif tunai daripada kerajaan.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bagi majikan yang mahu mendapatkan insentif bekenaan, mereka perlu menaikkan gaji pekerja terlebih dahulu.
Katanya, selepas bukti kenaikan dibuat, maka kerajaan akan membayar insentif berkenaan kepada mereka.
“Kerajaan tidak akan bagi insentif bulat-bulat sebaliknya mereka (majikan) kena naikkan gaji dahulu kemudian tunjukkan bukti dan baru kita boleh bayar.
“Insentif berbentuk tunai ini penting bagi menggalakkan majikan untuk menyertai dasar ini terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara, pada Selasa.
Jelas beliau, disebabkan peruntukan itu ditentukan oleh kerajaan maka ia dapat mengimbangkan beban kewangan kerajaan juga kerana ia akan dilaksanakan atas dasar ‘first come, first serve’.
Beritahu Rafizi, inisiatif dasar sistem gaji progresif itu telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini.
Tambah beliau lagi, sekiranya majikan telah memohon dan menepati syarat, namun kuota sudah dipenuhi maka mereka boleh memohon semula pada tahun berikutnya.
Dalam pada itu, Rafizi memberitahu, dasar tersebut juga berkaitan dengan produktiviti pekerja yang mana mereka diwajibkan untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran diiktiraf oleh kerajaan untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif.
“Untuk terus kekal dalam daftar gaji progresif itu mereka perlu memenuhi syarat-syarat latihan supaya bukan sahaja meningkatkan bakat dan kebolehpasaran mereka malah boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti ditempat kerja.
“Itu akan mengimbangi keperluan gaji yang lebih baik kepada pekerja tetapi juga untuk berlaku adil kepada majikan supaya majikan juga dapat manfaat dari produktiviti yang lebih baik,” katanya.