Malaysia berazam untuk dapatkan semula dana 1MDB daripada Goldman Sachs – Anwar Ibrahim

- NASIONAL - 14/09/2023

PUTRAJAYA – Malaysia akan melakukan segala perkara untuk mendapatkan semula dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Goldman Sachs.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mendapatkan semula dana tersebut, beliau tidak meletakkan satu tempoh masa kerana skandal 1MDB itu telah berlarutan sejak sekian lama. 

“Tetapi saya fikir saya akan menyampaikan jelas kepada Goldman Sachs bahawa kita perlu menamatkan perkara ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada mereka. Mereka perlu bersedia. Mereka tidak boleh mengelak.

“Anda boleh katakan yang kami tidak stabil dari segi politik yang anda boleh biarkan begitu sahaja dan tidak masuk campur. Bukan begitu. Kami tidak akan berhenti di situ, kerana ia bukan wang saya,” katanya. 

Beliau berkata demikian sewaktu berlangsungnya sesi khas ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan oleh pengacara dan ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara, Bloomberg Haslinda Amin pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura. 

Anwar turut diajukan pertanyaan sejauh mana beliau sanggup berusaha mendapatkan kembali dana itu sekiranya Goldman Sachs tidak memberikan kerjasama.

Menurut Anwar, kerajaan mahu mengembalikan semula dana itu kepada rakyat bagi tujuan menyediakan keperluan pendidikan, kesihatan awam dan kemudahan asas kepada mereka. 

“Goldman Sach tidak boleh bersikap tidak acuh mengenai perkara tersebut. 

“Sehingga sekarang, Goldman Sachs tidak begitu memberikan kerjasama. Jadi saya akan berada di New York minggu depan, saya akan bertegas. Sekurang-kurangnya mereka perlu berunding apa yang menjadi masalah,” ujarnya. 

Anwar berkata, sebelum ini perkara tersebut telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan sesetengah isu berbangkit boleh diselesaikan secara baik. 

“Kami mungkin sebuah negara kecil, tetapi anda tidak boleh memperdayakan kami,” katanya.

TAGS: