PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 dengan Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi pada Rabu.
Anwar berkata Malaysia berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara berkenaan melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
“Malaysia juga mengulangi komitmen untuk mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama (JCM) dan mesyuarat suruhanjaya ekonomi (JEC) antara dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.
“Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, Insya-ALLAH,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.