Malaysia kongsi usaha tangani penyebaran berita palsu di AMRI ke-16

- NASIONAL - 21/09/2023

PUTRAJAYA –  Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menzahirkan kesediaan untuk  berkongsi maklumat mengenai usaha kementerian dalam membendung penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat pada Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-16. 

Menterinya, Fahmi Fadzil memaklumkan usaha berkenaan dapat dilihat menerusi pembangunan sebuah platform oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform MyCheck yang dikenali sebagai Sebenarnya.my. 

“Antara isu hangat yang akan dibincangkan dalam kalangan menteri-menteri adalah mengenai berita palsu.

“Saya percaya ini peluang baik untuk saya bersama dengan Datuk KSU (Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) untuk bekerjasama serta merapatkan hubungan (sesama negara ASEAN),” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media tempatan sebaik sahaja tiba di Furama Resort Danang, Vietnam pada Khamis.

Pada masa sama, Fahmi memaklumkan bahawa media sosial turut memainkan peranan yang besar dalam penyampaian maklumat dan negara-negara ASEAN berusaha memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan benar serta menepati dasar kerajaan masing-masing.

“Sidang AMRI memberi ruang untuk Malaysia memahami dengan lebih lanjut isu berkenaan dan mengambil peluang itu untuk belajar daripada pengalaman negara lain di rantau ini dalam menangani cabaran penyebaran berita palsu.

“Malaysia juga berpeluang belajar daripada pengalaman negara-negara lain di rantau ini yang berhadapan dengan perubahan besar terutamanya di media sosial dalam aspek menarik dana pengiklanan yang kini meninggalkan kesan kepada syarikat dan organisasi media di negara masing-masing.

“Lain negara lain cara mereka. Saya percaya ini satu medan yang mungkin boleh membincangkan tentang isu-isu berkaitan media sosial juga,” katanya.

TAGS: