PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia bersedia untuk membeli peralatan ketenteraan dari Turkiye.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebelum ini negara pernah membuat pembelian barang ketenteraan daripada negara lain seperti Korea Selatan.
Bagaimanapun, Anwar memberitahu Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MATM) akan membuat keputusan dalam membuat penelitian jenis peralatan yang sesuai untuk dibeli dari Turkiye.
“Kita mungkin lihat dron dan helikopter…lihat pengkhususan dan kepakaran Turkiye. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Turkish House, New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, segala keputusan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.
“Dasar saya ialah seperti yang saya katakan kepada Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff), kita tidak mahu sebarang campur tangan mengenai apa yang perlu diperoleh, apa yang perlu dibeli,” katanya.
Pada masa yang sama, Anwar berkata Erdogan juga telah menyatakan persetujuan beliau untuk melawat Malaysia pada bulan Disember depan.
Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.