PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan program MADANI Afiat sebagai platform bagi menyebar maklumat asas pencegahan penyakit dan hebahan tentang program kesihatan kepada rakyat di Gombak pada 9 Julai ini.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata pemilihan tempat pelancaran di Selangor dibuat kerana negeri itu telah dijadikan contoh oleh KKM memandangkan kerajaan negeri berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan kepada rakyat di negeri ini.
“Banyak inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor dan kita juga belajar daripada negeri ini, sebagai contoh Skim Perubatan MADANI ialah cetusan idea yang saya dapat daripada negeri ini yang saya rasakan sangat baik,” katanya ketika sesi temu bual Bicara Khas, Program MADANI Afiat peringkat kebangsaan yang disiarkan oleh Selangor FM semalam.
Menurutnya, program MADANI Afiat akan mengandungi pengisian seperti pameran kesihatan, program galakan bagi orang awam untuk melaksanakan saringan kesihatan serta kempen pencegahan denggi.
“Kita mahu masyarakat mempunyai kesedaran untuk menjalani saringan kesihatan agar mereka dapat mengetahui lebih awal tentang penyakit yang mereka ada dan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk,” katanya.
Malah katanya, pihaknya akan membawa cadangan untuk mewajibkan setiap Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun.
Selain itu, Dr Zaliha berkata MADANI Afiat juga akan menggerakkan pasukan jururawat yang akan membuat saringan serta memberi pendidikan kesihatan dari rumah ke rumah bagi mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.
“Dengan konsep ‘whole of government, whole of society’, penjagaan kesihatan tidak terbeban oleh KKM sahaja dan semua pihak mempunyai tanggungjawab dan perlu memainkan peranan masing-masing demi mewujudkan masyarakat yang sihat,” katanya.
Beliau berkata KKM juga telah merangka siri jelajah ke negeri lain di seluruh negara bagi memanjangkan manfaat MADANI Afiat kepada semua rakyat.