PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah mencapai 60 peratus dan sedia untuk digunakan pada Januari tahun depan.
Menurutnya, sistem berkenaan dibangunkan dalam tempoh singkat iaitu bermula pada Jun lalu kerana ia menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini.
“Tempoh berkenaan merupakan satu cabaran besar, namun dapat dilaksanakan hasil kerjasama lebih 270 agensi kerajaan dan badan berkanun yang terlibat.
“Saya boleh katakan ia sebenarnya mencabar, tetapi dalam tiga bulan lagi, kita akan dapat menyediakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri sesi libat urus Pembangunan PADU Kementerian Ekonomi bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah kementerian dan agensi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sistem PADU akan bertindak sebagai nukleas kepada rancangan kerajaan untuk beralih menjadikan kerajaan berteknologi termaju.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kertas dasar bagi mengurangkan permit diluluskan (AP) dan import permit (IP) sudah siap dan akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada awal Oktober.
“Kementerian sedang meneliti semula keutamaan dalam kertas dasar itu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat MTEN.
“Kita perlu melihat perinciannya sekali lagi kerana hal ini berkaitan dengan keseluruhan diagnosis ekonomi, jadi senarai perkara-perkara yang hendak dibawa ke MTEN makin panjang,” ujarnya.