PUTRAJAYA – Semua pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit perlu bersama-sama menuju ke arah mengekalkan kemakmuran aspek utama industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak berkepentingan itu perlu bersedia mendepani cabaran untuk mengetuai sektor pertanian antarabangsa.
“Adalah penting untuk menekankan bahawa mengeluarkan minyak sawit daripada bekalan makanan global akan membawa kesan buruk kepada industri kita dan dunia secara keseluruhannya,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian sewaktu berucap pada Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan (NPOC 2023) anjuran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) pada Isnin.
Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu industri minyak sawit Malaysia telah memainkan peranan dalam melahirkan negara sebagai peneraju pasaran minyak makanan dunia.
Jelasnya, sektor berkenaan memberi sumbangan yang menggalakkan kepada pembangunan luar bandar dan ia merupakan tonggak sosioekonomi.
Kata beliau lagi, industri minyak sawit negara juga menyediakan peluang pekerja yang konsisten dan merangsang sektor berkaitan.
“Setakat Disember 2022, kelapa sawit yang ditanam di Malaysia mencapai 5.67 juta hektar, dan hasilnya menyumbang kira-kira 18 peratus daripada eksport minyak dan lemak makanan dunia.
“Saya ingin menekankan bahawa pertumbuhan mampan dan daya saing industri ini – walaupun menghadapi kebimbangan sosial dan alam sekitar – patut dipuji. Negara kita kekal komited untuk menangani amalan perdagangan diskriminasi yang bertujuan untuk menjejaskan komoditi pertanian penting ini,” katanya.
Beritahu Fadillah lagi, kerajaan akan terus berusaha menambah penglibatan dengan Kesatuan Eropah dan pihak berkepentingan lain berikutan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) bagi melindungi industri sawit negara.