Peruntukan RM10 juta untuk PKEB bimbing B40 berniaga – Kor Ming

- NASIONAL - 24/08/2023

PUTRAJAYA – Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) tahun ini menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membimbing golongan B40 di kawasan bandar mengusahakan perniagaan yang mampu meningkatkan kualiti hidup.

Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming,  Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah diberi tanggungjawab untuk menyelia dana tersebut. 

Beritahu beliau, peruntukan berkenaan dimanfaatkan oleh 835 peserta program latihan keusahawanan PEKB. 

“Latihan yang diberikan bertujuan meningkatkan kemahiran peserta agar mampu mengusahakan perniagaan supaya menghasilkan pendapatan lebih tinggi, sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Melalui PEKB, kita mahu pupuk budaya berdiri di atas kaki sendiri dengan mengusahakan perniagaan selepas mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar program berkenaan,” katanya kepada media tempatan. 

Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan, sejak program itu dilaksanakan pada 2013, telah berjaya melahirkan 16,515 usahawan yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan dan mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

Tambah beliau, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan memperuntukkan RM55 juta bagi melahirkan 4,835 usahawan B40 di kawasan bandar melalui PEKB.

Kor Ming berkata, kementerian telah bekerjasama dengan 28 badan bukan kerajaan (NGO) untuk melatih dan memantau aktiviti perniagaan usahawan itu. 

“NGO akan pantau aktiviti perniagaan mereka selama enam bulan bagi memastikan peserta dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan,” ujarnya.

TAGS: