RM308 juta diperuntukkan bina tiga PPR baharu di Perak – Kor Ming

- NASIONAL - 25/09/2023

PUTRAJAYA – Tiga kawasan Parlimen akan menerima peruntukan sebanyak RM308 juta bagi pembangunan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Perak. 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembangunan tersebut membabitkan 1,200 unit kediaman. 

“Projek berkenaan akan memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah itu, adalah PPR Tambun yang akan dibangunkan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di atas tapak milik kerajaan negeri.

“Projek itu menyasarkan 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan seperti lif, surau, tadika dan balai komuniti dengan anggaran kos RM140 juta yang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang mendapatkan pertimbangan serta kelulusan khas Kementerian Ekonomi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media tempatan sidang media selepas menghadiri Persidangan DUN di Ipoh, Perak. 

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pembangunan PPR Lenggong di kawasan DUN Kota Tampan melibatkan 300 unit rumah jenis teres berserta kemudahan asas. 

Ujar beliau, antara kemudahan yang turut dibangunkan ialah surau, tadika dan bangunan utiliti. Ia dibina di atas tapak yang diberikan kerajaan negeri dengan anggaran kos RM72 juta.

“PPR Lenggong atau nama asalnya PPR Perak telah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan akan dilaksanakan secepat mungkin. Permohonan ini sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.

“PPR Teluk Intan pula, ia terletak di kawasan DUN Changkat Jong dengan 400 unit rumah teres berserta kemudahan asas antaranya surau, landskap dan taman permainan, yang akan dibina di atas tapak milik Perbadanan PR1MA Malaysia dengan anggaran kos RM96 juta,” katanya. 

Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa permohonan PPR Teluk Intan juga telah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.

“Ketiga-tiga projek PPR ini akan membantu menjayakan sasaran kerajaan Persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RMK12 sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. 

TAGS: